“Encik, boleh saya tahu berapa diskaun untuk bumiputera?”
Ini adalah di antara soalan yang sangat popular keluar daripada mulut bakal pembeli, di ruang pameran atau pejabat jualan hartanah baru. Ia bagaikan soalan wajib daripada bakal pembeli bumiputera yang berminat menikmati keistimewaan ini.
Lot bumiputra, adakah ia satu keistimewaan?
Diperkenalkan di dalam Dasar Ekonomi Baru, lot bumiputera atau bahasa pasarnya dipanggil lot bumi bertujuan untuk membantu pemilikan hartanah dalam kalangan bumiputra. Sasarannya adalah pemilikan 30% di dalam sektor hartanah melalui peruntukan khas kuota unit bumiputra bagi sesebuah projek hartanah.
Selain kuota, terdapat juga pemberian diskaun 7% kepada bumiputera.
Apabila sesebuah projek hartanah itu digazetkan sebagai lot bumi, ia mempunyai sekatan pemilikan iaitu ia hanya boleh dimiliki oleh bumiputera sahaja. Sekatan ini tertulis di title atau geran unit itu sendiri.
Walaupun begitu, di sesetengah negeri seperti
Perak, ia tidak tercatat di dalam geran tetapi unit ini tetap memerlukan kebenaran khas daripada Menteri Besar apabila hendak dipindah milik ke bukan bumiputera.
Disebabkan sekatan ini, tuan punya hartanah terpaksa menjualnya kepada bumiputera. Ini menghadkan pasaran jualan, berbanding unit terbuka.
Kesannya, harga pasaran lot bumi menjadi lebih rendah daripada unit terbuka. Jika unit yang sama saiznya di sesebuah apartment itu boleh mencecah harga pasaran sehingga RM180,000 misalnya, unit bumi mungkin hanya mencecah RM160,000 ke RM170,000.
Lihat Kembali Tujuan Membeli Hartanah
Ini menyebabkan sesetengah pelabur hartanah bumiputera sendiri tidak berminat membeli unit-unit lot bumi ini. Sudah tentu mereka juga ingin mendapatkan keuntungan yang maksimum, dan membeli lot bumi bukanlah satu keputusan yang bijak.
Namun situasi berbeza jika mereka membeli dengan tujuan tinggal sendiri seumur hidup mereka. Kalaupun mereka hendak berpindah hak milik, ia adalah kepada anak-anak mereka yang pastinya bumiputera. Tiada isu di sini.
Satu situasi lain, unit bumi sesuai dibeli oleh pelabur yang hanya ingin mengambil wang keuntungan sewa, dan menyimpan hartanah itu sehingga tua. Ini kerana mereka dapat membeli dari pasaran kedua (subsale) dengan harga yang lebih murah tetapi menyewanya dengan kadar yang sama dengan unit terbuka.
Jadi, bumi lot satu keistimewaan atau kesilapan membeli adalah bergantung kepada tujuan pembelian, dan strategi seseorang pelabur tersebut itu sendiri.
Belum ada tanggapan untuk "Lot bumi, untung ke rugi ni?"
Post a Comment
Ada konfius tentang hartanah? Sila luahkan. TQ